Kematian Benito Mussolini
Kematian Benito Mussolini

Kematian Benito Mussolini

Kematian Benito Mussolini, diktator fasis Itali yang digulingkan, berlaku pada 28 April 1945, pada hari-hari terakhir Perang Dunia II di Eropah, semasa beliau telah dihukum mati oleh seorang partisan Itali di kampung kecil Giulino di Mezzegra di utara Itali. Versi kejadian yang diterima umum adalah Mussolini telah ditembak oleh Walter Audisio, seorang partisan komunis. Namun, sejak berakhirnya perang, keadaan kematian Mussolini, dan identiti pembunuhnya, menjadi subjek kekeliruan, pertikaian dan kontroversi yang berpanjangan di Itali.Pada tahun 1940, Mussolini membawa negaranya kedalam Perang Dunia II di sebelah pihak Jerman Nazi tetapi kelak bertarung dengan kegagalan tentera. Menjelang musim gugur 1943, beliau diturunkan menjadi pemimpin sebuah negara boneka Jerman di utara dan tengah Itali dan berdepan dengan kemaraan Pihak Bersekutu dari selatan dan konflik dalaman yang semakin ganas dengan puak partisan. Pada April 1945, dengan pihak Sekutu menggempur pertahanan terakhir Jerman di utara Itali dan pemberontakan besar partisan yang berlaku di bandar-bandar, keadaan Mussolini tidak dapat dipertahankan. Pada 25 April beliau melarikan diri dari Milan, iaitu tempat tinggalnya, dan cuba melepaskan diri ke sempadan Swiss. Beliau dan perempuan simpanannya, Claretta Petacci, telah ditangkap pada 27 April oleh puak partisan tempatan berhampiran kampung Dongo di Tasik Como. Mussolini dan Petacci telah dihukum mati keesokkan harinya, dua hari sebelum Adolf Hitler membunuh diri.Mayat Mussolini dan Petacci telah dibawa ke Milan dan dibiarkan di dataran pinggir bandar, iaitu Piazzale Loreto, untuk orang ramai yang sedang marah, memaki hamun dan membuat penderaan fizikal. Mayat mereka kemudian digantung terbalik dari galang besi atas stesen servis di dataran itu. Mayat-mayat tersebut dipukul, ditembak, dan dihentak dengan penukul. Pada mulanya, mayat Mussolini dikebumikan di sebuah kubur tidak bertanda tetapi pada tahun 1946, jenazahnya digali keluar dan dicuri oleh penyokong fasis. Empat bulan kemudian ia ditemui oleh pihak berkuasa yang selepas itu menyembunyikannya selama sebelas tahun. Akhirnya, pada tahun 1957, jenazahnya dibenarkan dikubur di makam bawah gereja keluarga Mussolini di kampung halamannya Predappio. Makamnya telah menjadi tempat ziarah bagi pengikut neo-fasisme dan ulang tahun kematiannya ditandai oleh perhimpunan neo-fasis.Pada tahun pasca perang, versi "rasmi" kematian Mussolini telah dipersoalkan di Itali (tetapi, secara umum, bukan di peringkat antarabangsa) dalam cara yang sama dibandingkan dengan teori konspirasi pembunuhan John F. Kennedy. Wartawan, ahli politik dan sejarawan, meragui kebenaran cerita Audisio, telah mengemukakan berbagai teori dan spekulasi tentang bagaimana Mussolini mati dan siapa yang bertanggungjawab. Sekurang-kurangnya 12 individu yang berlainan, pada pelbagai masa, telah mengaku sebagai pembunuhnya. Ini termasuk Luigi Longo dan Sandro Pertini yang kemudiannya menjadi setiausaha agung Parti Komunis Itali dan Presiden Itali. Beberapa penulis percaya bahawa kematian Mussolini adalah sebahagian daripada operasi pasukan khusus British, dengan tujuan untuk mendapatkan kembali "perjanjian rahsia" dan surat menyurat bersama Winston Churchill yang didakwa dibawa oleh Mussolini ketika beliau ditangkap. Namun, penjelasan "rasmi"[note 1], dengan Audisio sebagai algojo Mussolini, tetap menjadi cerita yang paling dipercayai.

Rujukan

WikiPedia: Kematian Benito Mussolini http://www.historytoday.com/john-foot/dead-duce http://archiviostorico.unita.it/cgi-bin/highlightP... http://archiviostorico.unita.it/cgi-bin/highlightP... http://archiviostorico.unita.it/cgi-bin/highlightP... http://archiviostorico.unita.it/cgi-bin/highlightP... http://archiviostorico.unita.it/cgi-bin/highlightP... http://archiviostorico.unita.it/cgi-bin/highlightP... http://archiviostorico.unita.it/cgi-bin/highlightP... http://archiviostorico.unita.it/cgi-bin/highlightP... http://archiviostorico.unita.it/cgi-bin/highlightP...